MENGENALI HADIS SAHIH

0 KOMENTAR...

Setiap kenyataan yang didakwa sebagai hadis perlu dipastikan kesahihannya benar-benar datang daripada Rasulullah s.a.w. sama ada perkataan, perbuatan atau pengakuan Baginda. Bagi menentukan kesahihan sesuatu hadis, para ulama hadis telah membuat kajian khas tentang kedudukan perawi-perawi (sanad) dan teks hadis matan. Kajian dalam permasalahan ini sangat penting kerana satu-satu hadis yang hendak dijadikan hujah syarak mestilah merupakan hadis yang benar-benar sahih.

Ciri-Ciri Hadis Sahih

Bagaimana caranya untuk mengenali sama ada sesebuah hadis itu hadis sahih?

Hadis sahih ialah hadis memenuhi lima syarat berikut:

1 Sanad (perawi)nya bersambungan.

2 Perawinya ‘adil: Keperibadiannya dipercayai. Tidak dilihat mengerjakan dosa atau didakwa fasiq.

3 Perawinya dabit: Ingatannya kuat dan mantap.

4 Tidak shaz: Tiada kejanggalan, iaitu ia tidak bertentangan dengan hadis yang lebih kuat.

5 Tiada illah: Tiada kecacatan yang tersembunyi. Perlu diketahui bahawa hadis sahih ini terbahagi kepada dua:

a Sahih lizatih : Hadis yang sahih dengan sendirinya tanpa diperkuat dengan hadis lain. Contohnya hadis yang bermaksud: “Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (menerima).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

b Sahih lighairih: Pada asalnya ia hadis hasan (hadis yang kurang pada syarat ketiga iaitu “dabit” ). Kemudian ia diiktiraf menjadi hadis sahih kerana diperkuatkan dengan hadis lain. Contohnya, hadis yang bermaksud: “Sekiranya tidak terlalu menyusahkan umatku untuk mengerjakannya, pasti aku perintahkan mereka bersugi setiap kali hendak solat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini berstatus hasan menurut riwayat Imam al-Tirmizi daripada jalan (sanad) Muhammad bin ‘Amru daripada Abi Salamah daripada Abu Hurairah. Hal ini kerana Muhammad bin ‘Amru dinilai oleh ulama hadis sebagai seorang perawi yang kekuatan ingatannya tidak mencapai standard kriteria dabit untuk syarat hadis sahih. Namun hadis ini mempunyai sanad yang lain sebagaimana yang diriwayat Imam al-Bukhari, daripada jalan (sanad) A‘raj daripada Abu Hurairah. Rumusannya berkenaan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Tirmizi itu, jika semata-mata berdasarkan sanadnya, ia hadis hasan. Namun ia diakui sebagai hadis yang sahih disebabkan adanya hadis lain.

Hukum Beramal

Apakah hukumnya beramal dengan hadis sahih?

Wajib beramal dengan hadis sahih, berdasarkan ijmak ulama hadis dan mereka yang sependapat dalam kalangan fuqaha dan ulama usul (usul fiqah). Mereka berpendapat bahawa setiap hadis sahih menjadi hujah syarak, tidak kiralah sama ada perawinya seorang atau ramai pada setiap tabaqah (lapisan) sanadnya.

Martabat Hadis Sahih

Saya mendengar bahawa antara hadis sahih juga tidak sama kedudukannya. Contohnya hadis sahih riwayat al-Bukhari lebih tinggi berbanding hadis sahih riwayat al-Tirmizi. Mohon penjelasan.

Benar. Hadis sahih mempunyai beberapa martabat berdasarkan ketinggian mutu kesahihan dan penerimaannya oleh para ulama hadis. Berikut ialah susunan martabat hadis sahih bermula dengan martabat yang paling tinggi:

1 Hadis sahih yang telah disepakati kesahihannya oleh Syaikhain (dua orang pakar terulung hadis) iaitu Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Ia biasa disebut sebagai Muttafaq ‘alaihi (hadis yang disepakat oleh mereka berdua dari segi sanad dan matan).

2 Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari sahaja.

3 Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sahaja.

4 Hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama hadis lain dengan menepati syarat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim walaupun mereka berdua tidak meriwayatkannya dalam kitab sahih masing-masing. Istilah biasanya “Ala Shartihima” bermaksud menurut syarat kedua-duanya.

5 Hadis sahih yang menepati syarat Imam al-Bukhari sahaja tetapi beliau tidak meriwayatkannya dalam kitab sahihnya. Ini yang dinamakan “Ala shart al-Bukhari” iaitu menurut syarat al-Bukhari.

6 Hadis sahih yang menepati syarat Imam Muslim sahaja tetapi beliau tidak meriwayatkannya dalam kitab sahihnya. Ini yang dinamakan “Ala Shart Muslim” iaitu menurut syarat Muslim.

7 Hadis-hadis sahih lain yang diakui kesahihannya oleh ulama hadis selain Imam al-Bukhari dan Muslim. Ini bermakna hadis tersebut tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh mereka berdua.

Wallahu a‘lam.


Semoga Bermanfaat

Comments
0 Comments