PERIHAL KESEDARAN SELAKU HAMBA

0 KOMENTAR...
Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

       Alhamdulillah, segala puji-pujian seharusnya kita rafa'kan kepada Allah Subhanahu wataala, Tuhan yang mentadbir sekalian alam ini. Dengan izinNya kita mampu menghirup udaraNya yang percuma, juga dengan izinNya kita diberi kesempatan lagi menggunakan nikmat-nikmatNya yang tersangat banyak dan tidak terkira. Diantaranya diberiNya kita pinjam mata untuk melihat kebesaranNya, mulut untuk berkata-kata dan berzikir mengingatiNya, telinga untuk mendengar, tangan, kaki dan banyak lagi.






       Marilah sama-sama kita memujiNya, juga marilah kita memohon pertolongan daripadanya, dan sentiasalah kita memohon hidayah daripadanya, dan janganlah berhenti kita memohon ampun daripadaNya dan kita berlindung kepadaNya daripada kejahatan-kejahatan diri kita, dan dari keburukan-keburukan perbuatan kita. Sesiapa yang diberi hidayah (petunjuk) oleh Allah maka tidak akan disesatkan, dan sesiapa yang diberi kesesatan oleh Allah maka tiadalah pretunjuk baginya.


       Kita sedia maklum bahawa, setiap apa yang ada dalam Dunia ini telah termaktub perjalanannya. Setiap ciptaanNya, tiada sia-sia melainkan punyai peranan yang tersendiri. Sebagai contoh, manusia dicipta tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata untuk menjadi hamba ataupun dalam erti kata lain, menjadi penyembah kepada tuhan yang menciptakannya.


       Kita hidup di atas muka Bumi ini bukanlah semata-mata untuk mencari kebahagiaan hidup, bukanlah hanya mengejar kekayaan, dan bukan juga untuk berseronok tanpa sempadan. Dalam Al-Quran pun telah dijelaskan bahawasanya kehidupan dunia ini adalah permainan, perhiasan, perkara yang melekakan dan tempat untuk berbangga-bangga dengan harta dan anak-anak yang dimiliki.






       Ini sudah cukup membuktikan bahawa tidak perlulah kita bersusah payah mengejar kemewahan dan kesempurnaan Duniawi, sebaliknya fikirkan apa yang lebih penting daripada itu. Janganlah kita mengejar sesuatu yang kita dah tahu ianya akan musnah dan binasa, malangnya hari ini rata-rata kita lihat ramai yang terleka dan terlena dibuai hayunan ombak dunia.


       Percaturan hidup ini telah ditetapkan oleh Allah sejak kita dalam rahim ibu lagi. Semua perihal hidup manusia ini tersedia tercatat di Luh Mahfuz. Tempoh hidup kita di dunia, tarikh kematian, jodoh, sakit, bencana, kesenangan, kesusahan, ujian dan bermacam-macam lagi ketetapan untuk kita.


       Sesuatu perkara itu boleh berubah dengan usaha dan doa yang kita lazimi lewat hari-hari kita. Sebagai contoh, bencana yang telah ditetapkan untuk menimpa kita boleh dielakkan dengan kuasa doa dan keizinan Allah. Doa adalah salah satu senjata untuk orang-orang mukmin. 






       Oleh yang demikian, percayalah pada diri dan yakinlah dengan Qadha' dan qadar Allah, seseorang itu akan mudah mengenali diri seandainya matlamat hidup jelas dan tersemat erat dalam diri. 


       Amat sedih jika dilihat dalam konteks dunia sekarang, ramai yang masih tidak mengendahkan soal kehidupan abadi kelak. Perihal kewajipan solat pun masih lagi belum sempurna, sudahlah tidak tahu, sombong pula untuk mempelajarinya. Sedangkan perkara pertama yang akan ditanya ataupun yang akan dihisab di akhirat kelak adalah Solat.


       Muhasabahlah kembali diri, adakah sudah mencukupi bekalan kita untuk dibawa ke sana? Adakah hanya dengan solat, puasa, zakat, sedekah sudah cukup dan memuaskan? Belum tentu ibadah-ibadah yang kita lakukan ini diterima oleh Allah. Di sinilah besarnya peranan doa dalam kehidupan kita, kita sudah menjalankan ibadah-ibadah yang menjadi kewajipan, untuk diterima disisi Allah, hanya doa yang kita mampu panjatkan.






"Apabila telah sampai ajal mereka, tidak akan dilewatkan walau sesaat, dan tidak pula akan dicepatkan".


       Berdasarkan firman Allah di atas, telah jelas kepada kita bahawa ajal dan saat kematian kita telah ditetapkan yang mana waktu dan ketikanya tidak boleh diawalkan dan tidak boleh dipercepatkan. Justeru, wahai sahabat-sahabat dan saudara saudari sekalian, bangkit dan sedarlah dari lamunan mimpi kalian. Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, tidak ada yang kekal dan yang mula pasti ada akhirnya.


       Perkemaskanlah diri dengan amalan-amalan yang akan dibawa menghadap Ilahi. Mudah-mudahan kita semua termasuk dikalangan orang-orang yang di bawah naungan rahmatNya, insyaAllah.





Comments
0 Comments