Petikan Khutbah

0 KOMENTAR...

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ BUKTIKAN KEKUASAAN
ALLAH SUBHANAHU WAATALA

MARILAH kita bertakwa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh, kerana dengan berhias takwalah kita akan selamat baik di dunia mahupun di akhirat iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala apa-apa jua larangan-Nya.


Sebagaimana yang telah menjadi kelaziman seluruh umat Islam, apabila menjelang tarikh 27 Rejab setiap tahun akan mengadakan dan menyambut berbagai-bagai acara sebagai peringatan sejarah agung iaitu Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita di Negara MALAYSIA ini juga tidak ketinggalan dalam menyambut dan merayakannya sebagai ingatan kita kepada peristiwa agung itu.


Sempena kita memperingati hari dan bulan yang mulia lagi mempunyai kelebihan yang telah dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada junjungan kita Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, hendaklah kita jadikan sambutan dan perayaan kita dalam memperingati peristiwa yang berlaku dalam bulan yang mulia ini untuk memperbaharui taat kita terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala dan bersegera meninggalkan larangan serta membersihkan segala amalan-amalan kita dari sifat-sifat yang keji dan buruk. Supaya amalan-amalan kita itu benar-benar bersih seperti yang dikehendaki Allah Subhanahu Wataala.


Semoga dengan kita mengikuti peristiwa Israk dan Mikraj ini tidak syak lagi rasa keimanan kita akan bertambah, perasaan takut dan takwa kian menebal di hati kita secara langsung ia boleh dihubungkan dengan kehidupan kita di dunia ini dan sebagai satu contoh teladan dalam membentuk satu kehidupan yang benar-benar berdasarkan kepada agama Islam.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam perjalanan Israk dan Mikraj telah banyak menyaksikan beberapa kejadian aneh lagi pelik dan ajaib. Kejadian-kejadian ini kiranya akan dapat menggerakkan hati kita bertakwa dan akan meneballah perasaan takwa kita terhadap seksaan dan azab dari Allah Subhanahu Wataala.


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.


Golongan orang-orang kafir tidak percaya kerana pada pemikiran mereka amat mustahil Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjalani Israk dan Mikraj di dalam waktu begitu singkat iaitu cuma sepertiga malam sahaja. Pada hal perjalanan yang begitu jauh jaraknya iaitu dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidilaqsa di Palestin. Kemudian naik menjalani tujuh lapisan langit. Menurut dakwaan mereka yang demikian itu adalah suatu yang tidak masuk akal jika dilakukan oleh manusia seperti Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.


Kita penuh yakin bahawa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah berlaku dengan jasad dan roh Baginda. Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Salah satu kesan Israk dan Mikraj itu ialah mendidik umat untuk menghayati makna kehidupan yang sepatutnya ditempuh oleh setiap insan yang ingin memanfaatkan hayatnya menurut yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wataala yang mencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi. Iaitu kehidupan yang berkebajikan di dunia dan di akhirat. Dalam sejarah perkembangan umat Islam, musuh-musuh agama Islam yang maha suci, bekerja keras untuk memesongkan akidah dan pendidikan hidup kaum Muslimin dengan tujuan untuk membawa kehancuran kepada kehidupan pendukung ajaran Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.


Kejadian Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini mengandungi lautan hikmah. Jika umat Islam mahu merenung secara teliti dengan menggunakan akal fikiran anugerah dari Allah Subhanahu Wataala. Namun kebanyakan manusia tidak begitu mengambil perhatian dan ingatan anugerah Allah yang termahal berupa akal tidak dipergunakan ke tempat yang wajar.


Justeru itu perbanyakkanlah amal ibadat, berbuat kebajikan dan sentiasa memohon ampun dengan beristighfar serta berzikir mengingati Allah, khususnya di bulan ini iaitu bulan Allah dan seterusnya di bulan-bulan yang akan datang. Semoga dengan cara demikian akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita buat dan terhindar diri kita daripada mendapat balasan seksa sepertimana yang telah diperlihatkan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.


"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa' ayat 1).



Comments
0 Comments