Pernah satu ketika sewaktu dibangku sekolah menengah, seorang remaja yang jiwanya masih kosong dengan belaian ilmu insani, masih kurang dengan pendedahan ilmu agama telah terjebak dalam satu perjumpaan dengan seorang remaja wanita yang bukan mahram.
Remaja lelaki ini namanya Amran (bukan nama sebenar) merupakan anak ke dua daripada empat orang adik beradik. Lonjakan jiwa remajanya membuatkan Amran tersalah pilih jalan yang membawanya kepada menghampiri zina. Pada ketika itu, Amran punya abang yang juga menimba ilmu di sekolah yang sama.
Amran merupakan seorang pelajar yang mempunyai pakej yang agak lengkap berbanding dengan rakan-rakannya yang lain dari segi penampilan, pertuturan dan banyak lagi.
"Tahun ni kamu nak peperiksaan, jangan nak banyak main, fokus pada pelajaran tu.." kata ibu Amran.
Tahun ini (2006) Amran akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) manakala abangnya akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pada satu hari di Sekolah, ketika waktu rehat bermula, Amran dan rakan-rakannya berhasrat untuk pergi ke koperasi sekolah dan terus ke Perpustakaan untuk menghabiskan waktu rehat. Waktu rehat yang diperuntukkan selama 20 minit itu dimanfaatkan oleh Amran dengan membaca buku-buku di Perpustakaan.
Meja yang diduduki oleh Amran tiada orang lain bersamanya melainkan dia seorang diri. Tiba-tiba, sedang Amran asyik membaca buku yang diambilnya, datang seorang pelajar perempuan yang tidak semena-mena duduk di hadapan bertentangan dengan Amran. Amran langsung tidak memikirkan apa-apa selain terus memberi tumpuan pada bacaannya. Sekali-sekala Amran menoleh ke arah pelajar perempuan itu untuk mengenalpasti siapa yang duduk di hadapannya itu. Rupa-rupanya pelajar itu adalah senior kepada Amran juga sama umur dengan abang Amran.
Setelah mengenalpasti pelajar perempuan itu, terlintas difikiran Amran bahawa pelajar inilah yang hangat diperkatakan oleh pelajar-pelajar lain mengenai tingkahlakunya yang ekstrem dan hyperaktif. Selang beberapa minit, kedengaran suara pelajar perempuan itu mengatakan "Hai handsome" sambil mukanya tersenyum meluru kearah Amran. Amran terpinga-pinga dan terkedu dengan perkataan yang diungkapkan oleh pelajar perempuan itu. Jarang ada pelajar perempuan yang berani melontarkan hasrat yang jujur itu kepada mana-mana lelaki lain kecuali tersemat keberanian yang sejati padanya.
Selepas itu, Amran pun diajak berbual-bual kosong dengan pelajar perempuan itu. Dalam perbualan kosong itu terdetik di hati Amran bahawa pelajar perempuan ini mesti mahukan sesuatu hubungan yang lebih dari sekadar kawan terhadap Amran. Semasa perbualan itu, Amran tidak henti-henti diserang pujian bertubi-tubi dari pelajar perempuan itu.
(Krriiiinnnnggggg...) "Loceng berbunyi menandakan tamat waktu rehat."
Amran diajak oleh rakan-rakannya untuk kembali ke kelas dan dalam pada masa yang sama Amran diberi sehelai kertas kecil dari pelajar perempuan itu yang kelihatan bertulis beberapa nombor.
"Ini mesti nombor telefon budak perempuan tu..." Amran berbisik dalam hati.
Lalu Amran dan rakan-rakan pun beredar dari Perpustakaan itu menuju ke kelas mereka. Tanpa memikir panjang tentang nombor yang tertulis pada cebisan kertas yang diberi pelajar perempuan tadi, Amran memasukkan cebisan itu ke dalam poket seluarnya.
"Weh Aisha, ko kenal tak akak form 5 yang namanya Rozana (Bukan nama sebenar)? Ala yang kelas 5B tu..." Tanye Amran kepada rakan di sebelah mejanya dalam kelas.
"...0ow.. akak tu ea, kenal je,, bukanke dia sekelas dengan abang ko??" Aisha membalas pertanyaan.
"A ah,, abang aku pun kelas 5B jugak,, akak tu duduk kat mane ea?? Dia ok ke??.." Amran dan Aisha saling membalas pertanyaan..
"Kalau tak silap aku, akak tu tinggal kat Muadzam, dia jaga koperasi sekolah ni..." Jawab Aisha bersahaja.
Kebetulan pada awal tahun 2006 itu, pelajar-pelajar baru tingkatan 1 baru sahaja mendaftar beberapa hari yang lalu dan masih dalam tempoh orientasi selama seminggu.
Amran pula merupakan salah seorang pengawas sekolah dan memegang jawatankuasa mengendali Program Orientasi pelajar baru ini. Tiba malam harinya, Amran dan rakan-rakan pengawas yang lain mengadakan aktiviti malam melibatkan pelajar tingkatan satu. Antara aktivitinya adalah berjalan di kawasan Sekolah sambil tangan memegang bahu kawan di hadapan dan mata ditutup dengan kain.
Ahli jawatankuasa yang terlibat mengendalikan Orientasi ni juga disertai dengan beberapa orang pelajar senior tingkatan 5 termasuklah pelajar perempuan yang Amran jumpa siang tadi di Perpustakaan.
"Hai Amran.." Tiba-tiba kedengaran suara perempuan menyapa dari belakang. Amran menoleh kebelakang dan mendapati Akak yang dijumpainya siang tadi menyapanya.
"Hai..." Balas Amran bersahaja.
"Jom kita gi sana..." Ajak Pelajar perempuan tu sambil menunjukkan isyarat tangan ke arah padang sekolah.
Dalam keadaan berseorangan di kaki lima bangunan, Amran tanpa berkata sepatah pun terus menuju ke Padang sekolah menandakan setuju menerima ajakan pelajar perempuan itu.
Ketika di Padang, aktiviti yang sedang dijalankan oleh Ahli jawatankuasa lain adalah memegang kayu dan mengarahkan pelajar baru melalui kayu itu sambil diberi arahan untuk melangkahnya. Amran terus mendapatkan sebatang kayu untuk dijadikan alat untuk menambahkan rintangan bagi pelajar-pelajar baru.
Tiba-tiba Kayu yang dipegang Amran dirasakan seolah-olah dipegang juga oleh orang lain, rupa-rupanya pelajar perempuan itu juga tidak melepaskan peluang untuk membantu Amran menjalankan aktivitinya.
Bilamana berakhirnya aktiviti untuk malam itu, Amran dan rakan-rakan lelaki yang lain dalam perjalanan hendak menuju ke asrama sambil melalui di hadapan pelajar-pelajar perempuan yang juga ahli jawatankuasa program orientasi.
"Selamat malam budak handsome, jangan lupa mimpi indah yer..."
Kedengaran suara pelajar perempuan tadi sayup-sayup dari jauh. Amran menoleh sambil tersipu-sipu malu kerana lontaran suara pelajar perempuan itu agak kuat kerana ianya dari jauh. Kebetulan pada masa yang sama, semua ahli jawatankuasa lelaki dan perempuan berada di tempat yang sama dan tidak syak lagi semua mendengar suara pelajar perempuan itu. Menoleh kepada AJK lain, mereka tersenyum dan ada yang mengeluarkan kata-kata bernada mengusik.
Merah padam muka Amran pada waktu itu disuasana keheningan malam celahan lampu-lampu jalan.
"Ishh.. berani betul budak perempuan ni, tengah ramai-ramai macam ni pun boleh lagi bersuara macam tu. Tak ada perasaan malu ke??..." Bisik Amran.
Amran dan rakan-rakan meneruskan perjalanan menuju ke asrama. Tiba-tiba bahu Amran ditepuk dari arah belakang....
BERSAMBUNG...
Semoga Bermanfaat
INFO MENGENAI PENULIS
Penulis merupakan seorang mahasiswa lepasan USIM.Telah berkecimpung dalam penulisan blog lebih kurang 3 tahun. Merupakan anak ke-2 daripada 4 orang adik beradik. Penulis merupakan mahasiswa lepasan USIM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Islam) Dengan Kepujian. Begitu meminati info-info terkini berkenaan teknologi, juga sedang mendalami ilmu akhirat.
0 Comments
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)