Bismillah..
IMAM AT-TIRMIZI meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA katanya; bahawa Rasulullah SAW telah membaca firman Allah SWT yang bermaksud:
"Pada hari ini (hari kiamat) bumi menceritakan beritanya."
(Surah az-Zalzalah: 4)
Selepas membacakan ayat-ayat tersebut, baginda bertanya kepada para sahabat, "Tahukah kamu apakah perkhabaran yang diceritakan oleh bumi itu?" Para sahabat menjawab, "Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahuinya." Rasulullah SAW bersabda, yang dimaksudkan bumi menceritakan beritanya, ialah bumi akan bersaksi terhadap apa yang telah dilakukan oleh manusia di muka bumi. Bumi berkata, "bahawa si fulan itu telah melakukan sesuatu di belakangku."
Hadis ini hadis hasan lagi sahih.
Berdasarkan hadis ini, fahamlah kita bahawa apa yang disabdakan oleh baginda Nabi SAW bakal berlaku. Bumi akan menceritakan segala-galanya tentang kejadian yang berlaku di belakangnya. Bumi akan menjadi saksi dan menceritakan apa jua perbuatan manusia di muka bumi dahulu.
Meskipun kita tahu bahawa Allah telah menghantar Malaikat untuk mencatit segala amal baik dan buruk secara terperinci, rekod peribadi manusia yang disediakan oleh Malaikat itu sudah cukup lengkap bagi membuktikan seseorang itu mempunyai amal baik ataupun sebaliknya. Namun, Allah mendatangkan pula saksi bagi melengkapkan lagi pertuduhan terhadap hambanya di mahkamah akhirat.
Dalam satu hadis riwayat Abu Na'im daripada Ma'qal bin Yasar, Rasulullah SAW menyatakan bahawa 'hari' telah memberi beberapa nasihat kepada manusia katanya: "Hendaklah kamu wahai manusia setiap hari (ataupun malam) sentiasa melakukan kebajikan atau kebaikan, supaya aku dapat menjadi saksi untukmu di akhirat kelak. Berbuat baiklah ketika aku (hari) bersamamu, kerana apabila aku beredar meninggalkan kamu, kita tidak akan bertemu lagi. Adapun hari yang datang berikutnya adalah hari yang baru.
Fikir-fikirkan....
Semoga Bermanfaat
INFO MENGENAI PENULIS
Penulis merupakan seorang mahasiswa lepasan USIM.Telah berkecimpung dalam penulisan blog lebih kurang 3 tahun. Merupakan anak ke-2 daripada 4 orang adik beradik. Penulis merupakan mahasiswa lepasan USIM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Islam) Dengan Kepujian. Begitu meminati info-info terkini berkenaan teknologi, juga sedang mendalami ilmu akhirat.
0 Comments
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)