AKU DAN GURU CEMERLANG BAHASA ARAB

1 KOMENTAR...
Alhamdulillah, dan syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T di atas kesempatan yang diberi ini untuk kesekian kalinya merasa nikmat Dunia yang bersifat sementara.



Hari ini tanggal 26 Februari 2013 bersamaan dengan 15 Rabiulakhir 1434, genap 9 hari aku berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka (SMKDC) Nilai Negeri Sembilan. Biarpun hanya sebagai seorang guru praktikum, dek kerana layanan mesra warga SMKDC ini membuatku terasa seolah-olah guru tetap di sini.

Dari peringkat pentadbiran sekolah, Pengetuanya yang penyantun disulami dengan sifat lemah-lembut dan berbudi bahasa, itu yang menjadikan SMKDC ini lebih indah.

Aku bersama 3 orang lagi sahabat turut sama berkhidmat di Sekolah ini juga sebagai guru praktikum merasakan hal yang sama bahawa warga SMKDC ini memang terkenal dengan guru-gurunya yang mementingkan sifat ramah mesra dan menjaga tutur kata.

Penat lelah dalam tempoh lebih seminggu ini bagaikan hilang berterbangan ibarat debu ditiup angin. Sedikit pun tidak meninggalkan kesan dalam diri.

Pada hakikatnya, seorang guru praktikum bakal terdedah dengan lambakan kerja, aktiviti dan program anjuran sekolah mahupun tugasan persendirian. Kena sediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) untuk seminggu, lakukan persiapan mengajar sebelum dipantau dan sebagainya. 

Hari ini aku merasakan sangat bertuah kerana dipelawa oleh seorang guru cemerlang dari SMKDC untuk melihat cara dan teknik beliau mengawal selia kelas. Tambahan pula, matapelajaran yang diajar adalah Bahasa Arab, ini membuatkan aku lebih bersemangat ingin tahu rahsia disebalik title "Guru Cemerlang" yang diperolehinya.

Beliau adalah Ustazah Nur Azlina Bt Mustapha. Seorang Ustazah yang berjiwa kental dan dihiasi dengan sifat rendah diri. Beliau berasal dari Kelantan dan sedikit pun tidak kekok apabila bertutur dengan orang lain yang berasal dari negeri yang berbeza.

Aku dipelawa masuk ke kelas yang diajarnya iaitu Tingkatan 3A. Aku diberi tempat duduk di belakang kelas dan membuat pemerhatian tentang cara pengajarannya. 

Apa yang aku dapat dari pemerhatian cara pengajarannya adalah beliau banyak bersoal jawab dengan pelajar dan sentiasa bersama dengan pelajar. Bermakna jangan sesekali abaikan pelajar dalam kelas itu.

Kami sempat berbual sedikit sebanyak tentang kaedah pengajaran yang berkesan dan macamana caranya untuk tarik perhatian pelajar supaya bersama dengan pengajaran kita. Beliau juga tidak lokek berkongsi tips-tips berguna untuk menjadi seorang guru yang cemerlang.

Akan aku sematkan dalam diri sekemas yang mungkin apa yang telah aku lihat, dengar dan dapat daripada pemantauan ini.

Alhamdulillah, Terima kasih ya Allah kerana mempertemukan aku dengan guru cemerlang ini. 


Semoga Bermanfaat

Comments
1 Comments

1 comment

11 Julai 2013 pada 5:15 PG

askum ustaz..

saya kongsikan juga sedikit Tips Panduan Memohon Guru Cemerlang sebagai panduan untuk guru-guru yang ingin menjadikan Guru Cemerlang sebagai laluan kerjaya.. ;)

http://www.cikguhailmi.com/2013/05/panduan-memohon-guru-cemerlang-fasa-1.html

Salam ukhwah.. ;)

Reply
Catat Ulasan